Monday, March 10, 2008

Samudera - Salam Sejahtera

Tiada secantik bahasa mu
Ku gubah lalu menjadi lagu
Tidak setanding paras
Wajahmu itu menjadi rindu

Andainya bulan retak seribu
Bayangmu ada dimana-mana
Jika kaca berderai
Luka tertusuk
Seluruh jiwa
Kita pun diibaratkan
Kasih suci yang bahagia
Aku turut merasakan
Mahligai yang
Jadi nyata... bersamamu

Pertama dan kaulah segalanya
Riwayat yang menghikayat cinta
Kasih jangan biarkan
Kata yang nista
Membakar kita

Kata janji bukan ukuran
Hanya sejati dalam diri
Kuburkan aku dihatimu
Demi cinta sebelum mati
Sejauh manapun terpisah
Kau dihatiku dan ku sama
Dalam tidur dalam terjaga
Ku ucapkan salam sejahtera

Friday, January 25, 2008

IBU

Ibu
kau segala-galanya
yang sanggup menemani aku
tanpa mengira waktu
ketika aku tidak berdaya
kau tetap setia
menanti mayat hidup.

Ibu
kau sanggup tidur
beralaskan batu
tanpa sehelai kain
berbantalkan lengan
menahan segala kesejukan
semata-mata menemaniku
aku banyak menyusahkan kau.

Ibu
kau segala-galanya
kau begitu mulia di mataku
sanggup korbankan segalanya
melihat aku di menara gading
kau sanggup berpenat lelah
tidak kenal siang atau malam
kau sanggup berlapar
semata-mata untukku.

Ibu
kau segala-galanya
kau tidak pernah jemu
memberi harapan kepadaku
aku tidak boleh hidup tanpamu
kau begitu bermakna untukku

Ibu
aku tidak tahu bagaimana untuk mebalas jasamu
tidak ku sanggup melihat air matamu mengalir
tidak ku sanggup menolak semua pintamu
tidak ku sanggup menidakkan apa yang kau kata.

Ibu
aku tak kisah
aku tak kisah….
biarkan..biarkan…biarkan
apa bumi ini menanggilku
asalkan aku
aku tidak menguris hatimu…
ibu….
kau segala-galanya……..

sayangku.... Najiah

Malam yang sunyi Najiah masih lagi tidak dapat melelapkan mata. Matanya terkelip-kelip. Puas dicuba untuk tidur tapi tak berjaya. Najiah bangun dari pembaringan. Dilihatnya adik-adiknya, Nazeri dan Nazirah yang masih lagi lena dibuai mimpi indah. Ditenung wajah adik-adiknya dan diselimutkan supaya tak kesejukkan. Hati Najiah begitu sayu melihat keadaan adik-adiknya yang terpaksa menempuhi semua dugaan walaupun mereka masih kecil lagi.

Najiah bangun perlahan-lahan menuju ke tingkap. Dibukanya tingkap seluas-luas hatinya untuk menikmati udara malam. Malam yang sejuk serta sunyi ditambah lagi bulan dan bintang begitu indah bagi insan yang sedang bercinta. Namun, pandangan malam itu langsung tak menarik minat Najiah untuk menikmati sepenuhnya.
Hati Najiah begitu resah sekali. Sejak dua hari lepas fikirannya sentiasa terganggu dengan peristiwa di hospital.

“Daktor macam mana dengan keadaan ibu Jiah. Dah lebih seminggu ibu Jiah di hospital.” Begitu tenang Najiah mengeluarkan kata-katanya sambil kepalanya tunduk ke bawah.
“Ibu kamu… emmm.. ibu kamu.” suara Doktor Isham tersekat-sekat begitu sukar baginya untuk menghabiskan kata-katanya.
“Kenapa dengan ibu Jiah doktor. Kenapa doktor.. cakaplah doktor.. cakaplah apa dia. Ibu Jiah dah sembuh ke? Ibu Jiah dah boleh keluar ke?” Muka Najiah mula berubah dan air matanya terus mengalir sambil mengocangkan tubuh Doktor Isham yang belum sempat menghabiskan kata-katanya.
“Maafkan saya, penyakit kanser ibu kamu semakin teruk. Sekarang penyakit itu sudah menyerang ke bahagian jantung ibu kamu.” Doktor Isham begitu tenang mengeluarkan kata-katanya. Walaupun begitu sukar baginya untuk memberitahu perkara sebenar kepada seorang budak yang baru berumur 17 tahun.
“Ya Allah, ibu.. ibu… doktor kenapa jadi macam ini doktor”. “Ya Allah.. apa semua ini. Kenapa begitu berat sekali ujian-Mu. Ya Allah…”
“Habis… macam mana dengan ibu Jiah doktor”? “Ibu Jiah akan selamat ke doktor?”

Tiba-tiba lamunan Najiah terhenti apabila terdengar bunyi kokokan ayam. Najiah menyapu air matanya supaya tidak kelihatan oleh adik-adiknya. Kalau tidak bermacam soalan ditanya oleh adik-adiknya.

Seperti biasa Najiah akan menyediakan bekalan makanan untuk adik-adik dan ibunya supaya mereka cergas dalam menghadapi cabaran hari itu. Kemudian Najiah akan kejutkan adik-adiknya sebelum dia pergi menoreh di kebun Ah See yang telah dipajak oleh keluarganya, sejak keluarga Najiah berpindah ke Kampung Ciku Raja, kira-kira lima belas tahun dahulu.

Najiah terbongkok-bongkok dari satu pokok ke satu pokok. Sungguh memenatkan. Biasanya Najiah akan menolong ibunya meneroh sehingga pukul 7.00 pagi sahaja. Namun, sejak ibunya masuk hospital, Najiah terpaksa menyiapkan semua kerja seorang diri. Dia tidak mahu adik-adiknya menolongnya melakukan kerja rumah. Biarlah semua tugas ini dilakukan olehnya sendiri. Najiah mahu adiknya menumpukan segala perhatian kepada pelajaran.

Kira-kira pada pukul 10.00 pagi Najiah berjaya menyelesaikan semua tugasnya di kebun getah. Najiah terus ke sungai untuk bersihkan badan dan mengambil air sebagai simpanan.

Setelah semua kerja selesai, Najiah akan bergegas ke hospital untuk melihat keadaan ibunya. Pagi tadi Najiah sudah menyuruh Nazeri melihat keadaan ibunya sambil menghantar bubur yang dimasaknya.

Jarak antara rumah Najiah dengan hospital ialah kira-kira 3 km. Biasanya apabila tiba tiba musim cuti sekolah, Najiah akan menggunakan basikal Nazeri untuk ke hospital. Namun, hari ini Najiah terpaksa berjalan kaki sejauh 1 km untuk sampai ke bus stop. Berjalan di bawah sinaran matahari yang terik memang memenatkan apatah lagi apabila berjalan di atas jalan raya. Keadaan ini menyebabkan Najiah lambat sampai ke bus stop.

Tidak beberapa lama kemudian, Najiah berjaya sampai ke hospital. Najiah terus melangkah ke bilik ibunya. Dia tidak sabar untuk melihat keadaan ibunya. Belum sempat lagi Najiah menolak daun pintu, dia terdengar perbualan ibunya dengan Mak Bedah menyebabkan dia tidak berdaya untuk menolak daun pintu itu lebih luas lagi. Mak Bedah merupakan satu-satunya adik ibunya yang masih hidup.

“Oii…. Yah. Najiah dah tahu ke siapa dia itu sebenarnya”.
“Belum lagi, aku tak sanggup bagi tahu perkara sebenarnya pada dia. Dia tu dah banyak berkorban untuk aku dan adik-adiknya. Lagi pun aku dah anggap dia tu macam anak aku sendiri”. kata Mak Joyah dengan tenang sambil menunduk kepalanya dan kadang-kadang kata-katanya itu hampir tidak didengari oleh Mak Bedah kerana menahan air matanya dari terus mengalir.

Jantung Najiah mula berdegup kencang. Hatinya berdebar-debar menanti kata-kata yang bakal keluar dari mulut Mak Bedah.

“Kenapa aku perlu tahu siapa aku diri aku sebenarnya?”
“Apa yang Mak Bedah maksudkan itu?” “Siapa aku sebenarnya?”
“Kau kena kasi tahu siapa dia sebenarnya. Dia itu tetap bukan anak kau. Nanti kalau dia dah besar dan dah tahu siapa dia sebenarnya dari mulut orang lain, siapa yang susah? Tak tentu pasal kau juga yang dipersalahkan dan dia sibuk-sibuk mencari keluarga dia dan keluarga kau, dia tak hiraukan. Entah-entah kalau kau sakit teruk dan nak turun dari katil ini pun kau tak berdaya. Dia sedikit pun tak datang tengok kau.”

Pada saat itu, Najiah merasa bagaikan halilintar menyambar bumi. Najiah terkejut apabila mendengar kata-kata Mak Bedah. Sehingga kakinya tidak berdaya untuk bertahan lebih lama lagi menyebabkan Najiah terduduk dan air matanya terus mengalir tanpa dipinta.

“Siapa aku sebenarnya?.” ‘Kenapa di saat begini baru aku tahu siapa diri aku sebenarnya?” “Kenapa tidak dulu?.” “Ya Allah… dugaan apakah ini? Ya Allah….. aku tak berdaya menghadapi sendirian, Ya Allah… tolong la hamba-Mu ini, Ya Allah….”

Kemudian Najiah pelahan-lahan bangun supaya tidak didengari oleh ibunya dan Mak Bedah. Najiah terus menyekat air matanya dan memasang telinga untuk mendengar lebih lanjut lagi apa yang dibualkan oleh ibunya dan Mak Bedah.

“Kau jangan cakap macam itu. Kau tak kenal lagi Najiah itu siapa. Kau baru jumpa dia beberapa kali saja. Aku tahu dia itu macam mana. Dari kecil lagi dia duduk dengan aku. Dia bukan orang yang kau cakapkan itu, dia lain… lain… kau tahu, tak dia itu lain. Dia sayangkan aku dan adik-adik dia”. Kata Mak Joyah dengan nada yang agak tinggi.
“Macam mana kalau dia tanya kau pasal keluarganya dan berjumpa dengan keluarga dia?” balas Mak Bedah.

Najiah yang sedari tadi mendengar sahaja perbualan ibunya dan Mak Bedah tidak sanggup menunggu lebih lama lagi di situ. Pantas kakinya melangkah pergi. Dia masih lagi dalam kebingungan. Bagaimana semua ini boleh terjadi? Dalam sekelip mata sahaja, tiba-tiba dia mendapat tahu dia bukan anak kepada Mak Joyah, orang yang paling dia sayang. Tiba-tiba perkara seperti ini boleh berlaku.

Najiah pantas berjalan tanpa hala tuju. Kata-kata Mak Bedah tadi masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Kau kena kasi tahu siapa dia yang sebenarnya. Dia tu tetap bukan anak kau.”
“Dia tu tetap bukan anak kau!” “Dia tu tetap bukan anak kau!” Kata-kata itu berulang kali bermain dibenaknya
Tidak!!! Tidak!!! Aku anak ibu! Aku anak ibu! Aku bukan anak orang lain. Aku anak ibu! Najiah menjerit dalam hatinya. Najiah menbiarkan air matanya terus mengalir. Hanya itu sahaja yang dia mampu lakukan pada masa itu.
“Dia itu tetap bukan anak kau!” Kata-kata itu masih kedengaran di cuping telinganya.
Tidak!!! Najiah menutup kedua belah telinganya. Tiba-tiba…….

Pong! Pong! Pong!!!!!! Bunyi hon yang kuat itu telah mengejutkan Najiah. Dia kaget seketika. Tiba- tiba ada satu tangan menariknya ke tepi.

“Woi, mahu mati ke?” jerkah pemandu kereta itu.
“ Maaf, encik! Maaf.. Jiah tak perasan tadi” Najiah hanya mampu memandang pilu Doktor Isham yang sedang memohon maaf kepada pemandu kereta itu bagi pihaknya. Kereta itu terus berlalu meninggalkan Najiah dengan Doktor Isham.
“Jiah okey ke?” Najiah hanya mengangguk tanda jawapannya terhadap doktor yang berusia dalam lingkungan 40-an itu.
“Jom, kita duduk kat sana.” Ajak Doktor Isham sambil menunjuk ke arah sebuah bangku yang terdapat di situ. Najiah hanya mengikut sahaja.

Doktor Isham merenung tepat ke dalam anak mata Najiah. Dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Bagaikan ada satu perasaan yang timbul antara dia dan Najiah. Sejak dari awal pertemuan mereka lagi, Doktor Isham mula merasa keanehan itu. Dia puas mencari jawapannya, tetapi gagal.

“Apa sebenarnya yang berlaku? Jiah ada masalah ke?” Air mata Najiah mula mengalir tatkala diajukan soalan itu. Kata-kata Mak Bedah tadi mula singgah dibenaknya kembali.
Hati Doktor Isham dilanda sayu apabila melihat tangisan Najiah. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia menyapu air mata itu. Tapi Doktor Isham terpaksa membatalkan niatnya.
“Kalau Jiah tak sudi untuk berkongsi kesedihan Jiah tu, tak apalah. Jiah dah jumpa ibu Jiah?” Najiah menggelengkan kepala.
“Kalau macam itu, pergi la jumpa ibu Jiah. Kasihan dia dari tadi lagi dia tunggu Najiah.
“Hari ini Jiah tak nak jumpa ibu Jiah!” terpancul kata-kata itu dari bibir Najiah.
Doktor Isham semakin kehairanan. Apa yang telah berlaku? Kenapa Najiah tidak mahu berjumpa ibunya, sedangkan dia tahu betapa taatnya anak itu kepada ibunya. Setiap hari Najiah mesti berjumpa dengannya untuk bertanya tentang keadaan ibunya. Tetapi hari ini tidak.
“Habis tu, Jiah nak ke mana sekarang ini?”
“Jiah nak balik. Mesti adik-adik Jiah dah balik dari sekolah ni.” Begitu lemah sekali jawapan Najiah sehingga hampir tidak didengari oleh Doktor Isham. Kemudian Najiah bangun dari bangku namun, sempat dihalang oleh Doktor Isham.
“Biar saya hantar Jiah balik!”

Sepanjang perjalanan, Najiah hanya mendiamkan diri. Sekali-sekala ada juga Doktor Isham menjeling kearah Najiah. Dia begitu hairan biasanya Najiah ini jenis yang banyak cakap tiba-tiba hari ini diam saja.

“Doktor…. apa yang Doktor akan lakukan jika tiba-tiba hari ini kita dapat tahu kita bukan seperti kita yang semalam?” pertanyaan Najiah itu memecah kesunyian antara mereka sebentar tadi. Doktor Isham mengerutkan dahinya tanda tidak memahami.
“Kita bukan seperti kita yang semalam? Maksud Jiah?”
“Macam mana kalau tiba-tiba Doktor tahu yang Doktor ini sebenarnya hanyalah seorang anak angkat sahaja kepada seseorang yang kita dah anggap seperti keluarga sendiri?”
Doktor Isham termangu. Dia merasakan dia sudah tahu apa punca yang membawa kesedihan kepada Najiah.
“Jiah pasti, yang Jiah hanyalah anak angkat?”
“Macam mana Doktor tahu yang Jiah ini anak angkat”
“Jiah, Jiah, saya makan garam lebih dulu dari Jiah. Dari percakapan Jiah pun, saya dah tahu. Jiah memang ada masalah.”
“Tapi siapa ibu bapa Jiah sebenarnya? Kenapa mereka buang Jiah? Hina sangat ke Jiah ni samapi mereka tak nakkan Jiah?”
“Tak baik Jiah cakap macam itu. Setiap perkara pasti ada sebabnya.”
“Habis tu, apa sebabnya?” “Kenapa Jiah yang jadi mangsanya?” “Kenapa tak orang lain?”
“Najiah…. jangan cakap macam itu tak baik.. Jiah seperti salahkan takdir pula”. Agak tinggi suara Doktor Isham, menyebabkan Najiah terdiam dan menundukkan kepalanya ke bawah.

Doktor Isham terus membelokkan keretanya dan masuk ke perkarangan rumah Najiah.

“ Kita dah sampai pun!” Ingatannya masih baik lagi walaupun hanya sekali berkunjung ke rumah Mak Joyah semasa Mak Joyah mula-mula masuk ke hospital dulu.
“ Jemputlah masuk, Doktor!”
Doktor Isham hanya mengangguk sebelum melangkah keluar dari keretanya.
“Assalamualaikum!” Najiah memberi salam apabila dilihatnya ada orang lain di dalam rumahnya dan sedang berbual dengan adiknya, Nazeri.
“Kakak, ada orang nak jumpa ibu.”
“Siapa?” Ringkas dan pendek soalan Najiah
“Entahlah, Angah sendiri pun tak kenal siapa dia itu. Agaknya bukan dari kampung ini.”
“Maaf ya, atas urusan apa mak cik nak jumpa dengan ibu saya?” Tanya Najiah kepada perempuan itu.
“Sebenarnya, mak cik……..”
“Ros? Awak Rosmah kan?” ayat mak cik tadi terhenti apabila mendengar namanya dipanggil. Dia berpaling ke arah suara itu. Dia terdiam. Tergamam apabila melihat sesusuk tubuh lelaki yang paling dia sayangi.
“Apa Ros buat di sini?”
“Menuntut sesuatu yang sememangnya hak Ros. Sesuatu yang dinafikan 17 tahun lalu.”
“Apa maksud Ros?”
“Anak. Anak yang Ros kandungkan selama 9 bulan dan yang Ros lahirkan 17 tahun lalu.”

Najiah terpana mendengar perbualan perempuan yang dipanggil Ros oleh Doktor Isham itu. “Tuntuk haknya?” “Jangan-jangan inilah……… tidak, tak mungkin. Ini semua mungkin salah faham saja.”

“Anak? Bila Ros mengandung dan anak itu…..” ayatnya terhenti apabila telefonnya bebunyi. Pantas dijawapnya panggilan itu.
“Apa? Baik, saya datang sekarang!” Doktor Isham mematikan talian dan berpaling kepada Najiah.
“Jiah, ibu Jiah…..” Doktor Isham tidak mampu menghabiskan kata-katanya.
“Kenapa dengan ibu Jiah?” apa dah berlaku dengan ibu Jiah, doktor.. cakaplah… apa dia?
“ Kita ke hospital sekarang juga. Bawa adik-adik Jiah sekali” “

Sampai di hospital, Doktor Isham pantas masuk ke dalam bilik Mak Joyah. Najiah dan adik-adiknya serta perempuan tadi hanya menunggu di luar. Seketika kemudian, Doktor Isham keluar.

“Jiah, pergi lah jumpa ibu Jiah. Sebelum terlambat.”

Najiah begitu tenang melangkah menghampiri ibunya. Keadaan ibunya benar-benar tenat. Namun, dia sempat mengukirkan senyuman ke arah Najiah.

“Jiah!” begitu lemah suara Mak Joyah. Tangannya dihulurkan kepada Najiah. Pantas Najiah menyambutnya.
“Jiah, mana adik-adik?’
“Ibu… kami di sini.” Jawab Nazeri dan Nazirah dengan serentak.
“Anak-anak ibu tahu kan, yang ibu sayang sangat kat kamu semua. Ibu…” suaranya tersekat. Najiah mula sebak.
“Ibu, jangan cakap banyak. Ibu kan sakit.”
“Kalau ibu tak cakap sekarang. Ibu takut tak sempat.”
“Ibu, jangan cakap macam tu. Jiah yakin, ibu mesti sembuh. Betulkan, doktor?” Najiah mula menangis, dia berpaling ke arah Doktor Isham. Namun, Doktor Isham hanya menundukkan kepala saja.
“Jiah!” panggil ibunya.
“Jiah anak yang baik. Sejuk perut ibu yang kandungkan Jiah. Tapi sayangnya, bukan ibu yang kandungkan jiah.”
“Apa maksud ibu?”
“17 tahun dulu, ada seorang perempuan muda serahkan Jiah kepada ibu. Dia minta ibu tolong jagakan Jiah sebab dia nak cari kerja di kota. Dia kata dia akan kembali untuk ambil Jiah balik. Tapi, sampai sekarang dia tak muncul-muncul lagi.”
‘Saya dah kembali, akak!” kata Rosmah sambil menghampiri Mak Joyah.
“Maafkan saya, kak. Maafkan saya!” esakan kecil kedengaran dari mulutnya. Perasaan bersalah mula menyelubungi dirinya.
“Akhirnya, kau datang juga Ros. Dah lama akak tunggu kau. Akak tak salahkan kau. Biar apa pun akak dah anggap Jiah macam anak akak sendiri.” Mak Joyah mencium tangan Najiah. Begitu berat rasa hatinya namun, dia tahu, masanya makin hampir.
“Jiah, ibu…ibu….” Mak Joyah mula merasakan kesakitan di dadanya.
“Ya Allah!” Mak Joyah menjerit sambil menahan kesakitan. Doktor Isham segera menghampirinya.
“Mengucap, kak!” Nafas Mak Joyah turun naik.
“Ibu! Jangan tinggalkan kami! Ibu! Ibu!!!’ Nazeri pantas memeluk tubuh Mak Joyah. Begitu juga dengan Nazirah.
“Ashaduallah…illah…..haillallah….” suara Mak Joyah tersekat-sekat
“Wa…ashaduanna muhammadi rasulullah.” Maka kembalilah seorang lagi hamba Allah kepada-Nya.
“Ibu!!!”
Najiah masih lagi di pusara ibunya walaupun, berkali-kali diajak oleh Rosmah untuk pulang.

“Jiah jangan risau, Mama akan jaga Jiah. Begitu juga dengan adik-adik Jiah. Kalau dulu ibu Jiah sanggup jaga Jiah untuk mama. Sekarang giliran mama pula jaga Jiah dan adik-adik Jiah.”

Najiah hanya membatukan diri mendengar kata-kata Rosmah. Siapa sangka dalam masa satu hari pelbagai kejadian yang berlaku. Malah, yang paling sukar untuk dipercayai, Najiah adalah anak luar nikah Rosmah dengan Doktor Isham.

Rupa-rupanya, Rosmah dan Doktor Isham pernah bersama. Ketika itu, mereka sama-sama muda dan hanyut dalam dunia mereka. Namun, Doktor Isham telah diijabkabulkan dengan orang lain pada hari Rosmah ingin memberitahu tentang kandungannya. Rosmah membawa diri selepas melahirkan Najiah kerana telah dihalau oleh keluarganya yang malu atas perbuatan Rosmah. Rosmah menyerahkan Najiah kepada seseorang untuk dijaga sebelum dia ke kota untuk mencari pekerjaan dan tidak pulang-pulang selepas itu.

“Jiah!” sentuhan lembut di bahunya mengejutkan Najiah. Dia berpaling ke arah Rosmah. Walau apapun, Rosmah adalah ibu kandungnya dan sebagai anak, dia wajib taat kepadanya. Itulah yang diajar oleh arwah ibunya dulu.
“Kita balik, nak!” Najiah hanya mengangguk sebelum bangun mengikuti Rosmah keluar dari kawasan perkuburan.

Dari jauh kelihatan Doktor Isham berdiri memandang Najiah dan Rosmah. Seribu penyesalan bersarang di jiwanya.

“Jangan risau, sayang. ayah tetap bersamamu……….” Bisik Doktor Isham perlahan.

Seminggu sudah berlalu. Majlis tahlil telah diadakan untuk arwah Mak Joyah. Rosmah telah menjemput semua orang kampung datang ke rumah Mak Joyah. Majlis itu berjalan dengan sempurnanya seperti apa yang dirancang.

Keesokan harinya Rosmah, Najiah, Nazeri dan Nazirah bersiap untuk berpindah ke kota. Mereka akan tinggal bersama dengan Rosmah.

PANTUN BUDI BAHASA

Dari Kuala singah ke Pekan
Hendak memberi buah nangka
Awal Bismillah saya mulakan
Salam sejahtera buat semua.

Ayam hutan terbang ke hutan
Tali tersangkut pagar duri
Adik bukan abang pun bukan
Hati tersangkut kerana budi.

Hari minggu pergi ke panggung
Melihat cerita Buli
Bukan ringgit dipandang orang
Budi bahasa rangkaian hati.

Jurumudi pegang kemudi
Nyiur bakul peninjau kerang
Sungguh tinggi harga budi
Budi dibalas kasih dan sayang.

Apa diharap pada paya
Tinggi rumput dari ruang
Apa diharap pada saya
Budi tiada bahasa pun kurang

Bauh petai dalam baldi
Enak di makan bersama ikan kering
Hidup kita biar berbudi
Hingga mati dikenang orang

Burung pipit burung kedidi
Hinggap di pokok tepi sawah
Jika hidup tidak berbudi
Ibarat pokok tidak berbuah

Pergi ke hulu menebang seraya
Hilir berakit waktu siang
Apa ada pada kaya
Banyak harta budi kurang

Sungguh enak air kelapa
Sambil duduk atas titi
Budi tuan tak kami lupa
Sudah terpaku hingga mati

Anak dara berkain cukin,
Dari Daik bulan puasa;
Tidak kira kaya miskin,
Asalkan baik budi bahasa.

Naik basikal terlanggar batu
Batu dibaling kena beruang
Adat dunia memang begitu
Sebabnya emas budi terbuang

Hari petang nampak teduh
Orang berjalan sebelah kiri
Jika hendak orang mengasih
Hendaklah baik bicara budi

Kalau ada menanam ubi
Boleh dijual pasar Isnin
Hidup hendaklah bersendikan budi
Sifat sombong jangan amalkan

Masam sungguh asam paya
Masam lagi buah mangga
Emas perak kebesaran dunia
Budi bahasa budaya kita

Ada kerusi ada meja
Itulah tempat membasuh kaki
Ada budi ada bahasa
Itulah tempat taruhan hati

Anak angsa mati lemas
Lemas mari di air masin
Hilang bangsa kerana emas
Hilang budi kerana miskin

Kalau udang dibuat gulai
Daging rusa dimasak kari
Kalau wang jadi pemakai
Budi bahasa pengiring diri

Pokok keladi tepi paya
Bunga teratai kembang berturut
Kalau berbudi pada yang kaya
Seperti mencurah garam ke laut

Orang asli menanam padi
Padi tumbuh nampak jarang
Antara kasih dengan budi
Budi juga dikenang orang

Naik kereta ke Pulau Mutiara
Singah sebentar membeli buah
Sudah berbudi lagi berbahasa
Itulah tanda bistari bertuah

Kalau tuan bawa perahu
Di isi dengan buah berangan
Hendak berbudi biar selalu
Supaya boleh buat kenangan

Kalaulah pergi ke pasar Khamis
Masuk sekejap membeli gelang
Kalau budi mintak dibalas
Itulah tanda budi tak dikenang

Anak ikan di makan ikan
Makan bersama ikan tenggiri
Mati ikan kerana umpan
Mati hamba kerana budi

Anak itik pandai menari
Anak angsa terlompat-lompat
Rupa cantik dapat dicari
Budi bahasa mana nak dapat

Sejak kentang nak jadi gulai
Ubi tidak bersama lagi
Sejak ringgit yang jadi nilai
Budi tidak dipandang lagi

Daun selasih daun keladi
Keladi ditanam di tepi tanjung
Hati kasih kerana budi
Budi baik rasa nak junjung

Banyak orang di Bukit Cina,
Sayang Cik Ali menebang kayu,
Zaman sekarang ringgit berguna,
Budi yang baik terbuang lalu.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa

Pantai Tanjung tempat berkelah
Seronok berkelah waktu cuti
Kalau ada silap dan salah
Mohon maaf sepenuh hati.

KEBERKESANAN PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA (PLKN)

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan salah satu program yang dijalankan di Malaysia pada 16 Februari 2004. Idea penubuhan program ini mula dicetuskan dalam Kongres Patriotisme Negara pada 24 Oktober 2002. Pada mulanya program ini dikenali sebagai ‘Kerahan Tenaga’. Namun, setelah mendapat pandangan daripada orang ramai ‘Kerahan Tenaga’ ini telah ditukar kepada ‘Khidmat Negara’. PLKN bukanlah satu bentuk kerahan negara ala tentera yang diamalkan oleh negara luar dan negara kita pada tahun 1952 untuk menerangi komunis. Kandungan perkhidmatan ini meliputi 30 peratus ala tentera dan 70 peratus kemasyarakat. Program ini melibatkan golongan remaja yang berumur 18 tahun atau lepasan SPM yang dipilih secara rawak. Pada tahun 2004 peserta PLKN ini telah ditempatkan di 42 kem dan 20 buah IPT di seluruh negara. Namun, pada tahun 2005 penempatan ini telah ditukar ke semua kem tanpa melibatkan IPT. PLKN telah membawa satu matlamat yang jelas iaitu melahirkan remaja yang kental sama ada dari segi rohani mahupun jasmani. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa PLKN telah banyak memberi kesan positif kepada individu, masyarakat, agama dan negara.

PLKN begitu berkesan dalam menanamkan semangat patriotisme dalam diri masyarakat terutama remaja. Remaja merupakan golongan yang begitu berharga sekali bukan kerana bilangan mereka yang ramai tetapi peranan mereka yang bakal menjadi pemimpin pada masa depan dan bakal menentukan hala tuju negara. Namun, hari ini golongan remaja telah terdedah dengan pelbagai masalah sosial seperti lumba haram, buli, seks bebas, gengsterisme, pengaruh barat dan sebagainya. Hal ini, telah menyebabkan semangat patriotisme dalam diri remaja semakin luntur. Pelaksanaan PLKN telah banyak membantu dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam diri remaja. Penerapan semangat patriotisme ini dapat dilihat dalam pelaksanaan modul kenegaraan iaitu salah satu daripada empat modul yang wajib dipelajari oleh peserta PLKN. Modul kenegaraan ialah modul yang diaplikasikan untuk meperluaskan pengtahuan tentang kenegaraan yang merangkumi tanah air, rakyat, kerajaan, kedaulatan dan cabaran-cabaran dalam serta luar negara. Hal ini, telah meningkatkan perasaan cintakan tanah air dan sanggup berkorban deminya. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi PLKN begitu berkesan dalam melahirkan remaja yang bersemangat patriotisme yang tinggi.

Selain daripada melahirkan remaja yang berpatriotisme yang tinggi dalam diri mereka, PLKN juga begitu berkesan dalam mempertingkatkan perpaduan kaum serta integrasi nasional. Perpaduan begitu penting dalam membentuk sebuah negara yang aman. Menurut Pengerusi Majlis Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye perpaduan yang lebih kukuh di kalangan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya di negara ini adalah kunci kepada kemajuan serta kesejahteraan negara pada masa depan. Pada masa dahulu perpaduan di kalangan masyarakat begitu kuat sekali tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Perpaduan itu telah menyebabkan masyarakat Malaysia kini dapat menikmati kemerdekaan. Namun, pada hari ini dalam dunia globalisasi tanpa sempadan, masyarakat lebih mementingkan kejaya mereka sahaja daripada menjaga tepi kain orang. Hal ini, menyebabkan perpaduan di kalangan rakyat semakin hilang. Oleh itu, kerajaan telah mengambil tindakan dengan menubuhkan PLKN yang wajib diikuti oleh remaja yang terpilih tanpa mengira agama, budaya dan bangsa. Penubuhan program ini telah berjaya meningkatkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat yang semakin hilang oleh pembangunan. Hal ini, dapat dilihat semangat perpaduan ini wujud semasa mereka melakukan aktiviti berkumpulan, mereka bekerjasama tanpa mengira bangsa, agama dan bahasa. Diharap program seperti dapat diteruskan untuk melahirkan semangat perpaduan antara kaum yang selama ini menjadi masalah dalam menantapkan lagi negara.

Program ini juga berkesan dalam mengisi masa lapang remaja daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah. PLKN mempunyi visi dan misi yang jelas serta nyata untuk membentuk masyarakat yang mantap dari segi fizikal, mental dan keharmonian pada masa akan datang bagi menempuhi cabaran-cabaran dalam mencapai matlamat Wawasan 2020. Pelajar-pelajar lepasan SPM mempunyi banyak masa yang terluang. Oleh itu, mereka akan mudah terdedah dengan kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah seperti lepak, lumba haram, seks bebas, gangsterisme dan sebagainya. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bukit Aman jenayah yang mebabitkan pelajar meningkat 22.7 peratus pada tahun 2003 berbanding 99 kes sehari. Hal ini, menyebabkan pihak kerajaan dan NGO mengambil langkah sewajarnya dengan menubuhkan PLKN berhasrat agar dapat membantu pelajar lepasan SPM mengisi masa lapang dengan baik. Melalui PLKN ini yang merangkumi kematangan fizikal, rohani dan jasmani dapat membantu pelajar mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berguna seperti ceramah, latihan meperkuatkan fizikal dan sebagainya.
Menanam semangat kesukarelaan di kalangan remaja juga merupakan salah satu keberkesanan PLKN. Aktiviti sukarela begitu penting dan berguna dalam sesebuah negara. Hal ini disebabkan, melalui sukarela masyarakat terutamanya golongan muda-mudi dapat mempelajari sesuatu melalui pengalaman di kawasan kejiranan, dalam kerja perkhidmatan sosial, alam, kemudahan awam dan sebagainya. Namun, pada hari ini masyarakat terutamanya remaja tidak begitu berminat untuk mengikuti aktiviti sukarela. Mereka lebih berminat melakukan aktiviti lain termasuklah gejala negatif. Adanya PLKN semangat kesukarelaan dapat diserapkan dalam diri remaja, contohnya banjir yang berlaku di Johor ramai masyarakat terutamanya peserta dan bekas peserta PLKN telah turut serta dalam membantu mangsa-mangsa banjir. Oleh demikian, tidak dapat dinafikan lagi bahawa PLKN begitu berkesan dalam melahirkan remaja yang mempunyi semangat kesukarelaan yang tinggi.

Program PLKN juga merupakan salah satu program yang dapat membentuk perwatakan positif melalui penerapan nilai-nilai murni. Penerapan ini dapat dilihat dalam modul pembinaan karektor yang wajib diikuti oleh semua peserta PLKN. Tujuannya agar para peserta dapat mengetahui nilai-nilai dan cirri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang pemimpin. Melalui modul ini juga para peserta dapat berfikir secara positif dan bijak dalam membuat keputusan serta menjadi individu yang cekap. Ia juga berkesan bagi memastikan peserta PLKN menilai kemampuan diri sendiri dan orang lain. Selain itu, modul ini dapat melahirkan individu yang dapat menjadi ‘role model’ kepada agama, masyarakat dan negara. Hal yang demikian, dapat dilihat bahawa modul pembinaan karektor perlu dilaksanakan bagi memastikan individu mahupun peserta menjadi masyarakat yang berkeyakinan dan mempunyi nilai-nilai murni. Oleh itu, aktiviti ini perlulah dibuat secara berterusan agar nilai-nilai murni dapat diterapkan dalam diri masyarakat terutamanya golongan remaja yang semakin hilang nilai-nilai murni.

Kesimpulannya, PLKN begitu memberi kesan positif kepada masyarakat terutamanya golongan remaja yang bakal menjadi pemimpin dan menentukan hala tuju negara ini. Namun, program ini masih banyak lagi kelemahannya sehingga ada yang mengganggu latihan. Oleh itu, pihak kerajaan dan NGO seharusnya menyemak kembali program ini supaya ia tidak mengganggu perjalanan latihan PLKN agar program ini lebih berkesan lagi. Pihak kerajaan dan swasta juga seharusnya bekerjasama dalam menjalankan pelbagai program lagi seperti PLKN, Rakan Muda dan sebagainya. Hal ini, bertujuan untuk meningkatkan lagi keberkesanannya kepada agama, masyarakat dan negara. Diharapkan program seperti ini tidak hanya disertai oleh pelajar lepasan SPM yang dipilih secara rawak tetepi kepada semua rakyat Malaysia terutamanya golongan kanak-kanak. Tambahan pula, golongan kanak-kanak mudah menerima apa yang diajar seperti kata orang tua-tua “melentung buluh biar dari rebungnya”.

APLIKASI ICT DALAM PENDIDIKAN

APLIKASI ICT DALAM PENDIDIKAN KIMIA

Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran kimia SPM boleh digunakan sebagai bahan bantuan mengajar untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik minat pelajar dan tidak terlalu stereotaip. Perubahan kaedah pengajaran berdasarkan ICT bersesuian dengan cadangan pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia iaitu guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran yang boleh menarik minat pelajar, menggunakan bahan-bahan yang sesuai dari internet untuk tujuan pengkayaan, menggunakan alat bantu mengajar untuk memperjelas sesuatu konsep, mengajar secara konstruktivisme, masteri dan lebih kontekstual serta menarik minat pelajar melalui teknik pengajaran yang pelbagai dan kreatif menggunakan literasi komputer yang interaktif. Terdapat pelbagai cara untuk melaksanakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Pelaksanaan biasanya dijalankan secara berperingkat atau mengikut fasa. Dalam penulisan Kendall (2001), UNESCO telah mencadangkan empat pendekatan untuk membangunkan ICT. Antaranya termasuklah peringkat ‘emerging’ (Pengenalan), Peringkat ‘applying’ (Aplikasi), Peringkat Integrating (Integrasi) dan Peringkat ‘Transforming’ (Transformasi). Dengan ini, pengajaran bertukar menjadi focus pelajar. Pelajar bertanggungjawab terhadap pembelajarannya.

KEBAIKAN ICT DALAM PENDIDIKAN KIMIA
Melalui penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, pelajar akan berasa seronok untuk mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah dan proses ini membolehkan pelajar tidak berasa tertekan kerana minat yang timbul mengkhayalkan pelajar untuk belajar. Keseronokan semasa belajar membolehkan pelajar memahami konsep pembelajaran dan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian. Contohnya perisian kimia yang telah dihasilkan melalui kajian Lai (2001) mendapati perisian multimedia sel elektolisis dan sel kimia adalah berkesan dalam membantu pelajar mengatasi kesukaran konsep pembelajaran elektrokimia dalam sel tersebut.

Pelajar yang menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran kimia mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai bakal ahli saintis dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks. Pelajar tidak hanya bergantung kepada guru sahaja. Mereka juga tidak hanya terikat kepada nota-nota yang disediakan guru. Hasil daripada proses pengajaran dan pembelajaran ini, pelajar akan menjadi lebih aktif dan bertindak dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan berasaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kimia. Guru hanya menjadi pembimbing di sisi pelajar. Contohnya pelajar boleh menggunakan perisian PPBK yang dibekalkan oleh pihak PBT (Teaching Learning Material, TLM) kepada sekolah bestari yang boleh diakses melalui jaringan (networking) atau dalam bentuk CD-Rom (stand alone) yang dibekalkan Portal pendidikan menyediakan pelbagai maklumat dan pautan untuk guru atau pelajar mendapatkan nota, rancangan pengajaran, latihan atau forum perbincangan.


Portal pendidikan adalah salah satu aplikasi pengajaran dan pembelajaran berasaskan web yang boleh di manfaatkan oleh guru dan pelajar sebagai salah satu langkah untuk menambah kefahaman atau persediaan sebelum proses pengajaran. Teknologi portal yang digabungkan dengan ssitem data dan maklumat lain dapat membentuk senjata yang berpotensi untuk menawarkan e-pembelajaran (E-learning) (Hartley, 2000). Contohnya portal pendidikan Utusan. Terdapat juga contoh-contoh laman web yang disediakan oleh pelajar yang mengambil subjek kimia. Antaranya ialah:-

Perisian kursus dalam bahasa inggeris seperti perisian kursus Tutor Chemisthri yang digunakan oleh guru kimia dalam memperkenalkan pelajar dengan istilah-istilah dalam bahasa inggeris merupakan persediaan pelajar ke IPTA dan latihan kepada guru untuk proses pengajaran dan pembelajaran kimia daam bahasa inggeris menjelang tahun 2006 di mana pelajar tingkatan satu 2003 akan berada di tingkatan 4. pelajar akan berasa lebih selesa dan tidak janggal dan proses pengajaran dan pembelajaran kimia apabila mereka melanjutkan pelajaran ke IPTA. Antaranya CD-Rom yang dietrbitkan oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1998 melalui Siri Makmal Sains Kimia. Perisisan ini menggunakan pendekatan tutorial di mana ia mengandungi nota, penerangan, aktiviti, kuiz dan glosari. Ia merupakan perisian yang interaktif dan mempunyai butang-butang yang boleh dikawal oleh guru dan juga pelajar.. Antara tajuk yang dibekalkan ialah Keadaan Jirim, Unsur, Sebatian dan Campuran serta Elektrokimia.

KEBURUKAN ICT DALAM PENDIDIKAN KIMIA

Komputer juga memberikan aplikasi yang buruk kepada proses pengajaran dan pembelajaran kimia. Antaranya ketidakseimbangan cara pengajaran dan pembelajaran di kalangan peajar bandar dan luar bandar. Kebanyakan peruntukan ICT hanya diperuntukkan sekolah-sekolah Bandar sahaja. Justeru, pelajar di Bandar lebih terdedah terhadap penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran kimia yang dianjurkan oleh kerajaan. Mereka akan terus berkembang maju dan terus pesat membangun dalam segi keintelektualan manakala pelajar luar Bandar seolah-olah dianaktirikan dan terus mundur. Maka berlaku proses ketidakadilan dalam pengajaran dan pembelajaran. Jika cara pengajaran dan pembelajaran ini dijalankan maka ia harus melibatkan semua pelajar di semua tempat dan tidak mengira masa.

Penggunaan ICT juga akan menyebabkan komunikasi atau proses interaksi antara pelajar dan juga guru kurang berlaku. Memandangkan para pelajar yang menggunakan ICT lebih tertumpu kepada penggunaan komputer maka pelajar kurang berinteraksi dengan guru. Mereka lebih selesa berada di depan computer daripada meluangkan masa yang lebih terhadap guru mereka. Keadaan ini menyebabkan semangat hormat dan perasaan sayang terhadap guru semakin berkurangan. Mereka akan lebih mementingkan hal masing-masing tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan proses interaksi antara guru dan juga pelajar kurang.

APLIKASI ICT KEPADA PENDIDIKAN SEJARAH

Sejarah merupakan satu mata pelajaran yang berbentuk fakta semata-mata. Kebanyakan buku-buku pelajaran yang dikhaskan kepada pelajar adalah tidak mencukupi untuk mendapat maklumat yang lebih ditail dan tepat. Pelajar terpaksa mencari pelbagai jenis buku untuk mendapatkan rujukan. Keadaan ini sedikit sebanyak menbebankan para pelajar yang ingin mendapatkan maklumat. Perkara ini secara tidak langsung menyebabkan maklumat yang diperolehi tidak lengkap dan tepat. Dengan adanya penggunaan ICT, pelajar akan mendapat maklumat tentang sejarah misalnya kejadian sesuatu tempat dengan lebih lanjut dan terperinci dengan hanya menggunakan internet.

KEBAIKAN ICT KEPADA PENDIDIKAN SEJARAH

Dengan adanya penggunaan ICT, pembelajaran akan menjadi lebih baik dan menarik. Kebanyakan pelajar tidak suka membaca fakta kerana ia sesuatu yang membosankan. Dengan membaca fakta, mereka akan mudah lupa walaupun dalam masa yang singkat. Dengan adanya ICT, fakta sejarah yang menarik boleh disampaikan melalui tontonan video. Di samping berhibur, mereka akan dapat mengingati tentang video yang telah di samping tidak membosankan. Hal ini dapat menarik minat pelajar untuk menelaah pelajaran sejarah dan mengingatinya dengan lebih lama.

Selain itu, dengan adanya penggunaan ICT proses pengawalan pelajar di bilik darjah dapat dikawal dengan baik. Guru dapat mengawal pelajar daripada ponteng kelas terutama pada mata pelajaran sejarah. Pelajar akan tertunggu-tunggu dengan penayangan video yang akan disiarkan. Penayangan video sedikit sebanyak dapat menarik minat mereka untuk mengingati fakta sejarah jika dibandingkan dengan pengajaran secara lisan oleh guru-guru. Sebagai contohnya, dengan adanya gabungan animasi teks, grafik, membolehkan pelajar memahami urutan dan peristiwa yang berlaku semasa proses kemerdekaan tanah air. Mereka juga secara tidak langsung dapat mengenali dan melihat dengan lebih dekat lagi tokoh-tokoh kemerdekaan yang bertungkus lumus untuk mendapatkan kemerdekaan daripada pihak penjajah.

KEBURUKAN ICT KEPADA PENDIDIKAN SEJARAH

Penggunaan ICT dalam pendidikan akan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran tidak akan berlaku dengan lancar. Penggunaan komputer dalam pembelajaran kadangkala tidak berjalan dengan lancar memandangkan banyak masalah-masalah yang berlaku. Contohnya proses pengajaran dan pembelajaran akan tergendala apabila berlakunya masalah gangguan bekalan elektrik dan juga masalah rangkaian sibuk. Keadaan ini secara tidak langsung akan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan terutama dalam pendidikan sejarah tidak akan berjalan dengan lancar.

Penggunaan ICT juga melibatkan proses penyelenggaran yang rumit dan melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi. Penyeliaan terhadap projek ini adalah sangat rumit kerana melibatkan masa depan negara yang bergantung kepada pelajar. Kerajaan pula terpaksa memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi terhadap perlaksanaan ICT untuk kegunaan pelajar. Keadaan ini akan menimbulkan ketidakseimbangan terhadap pembangunan lain seperti pembangunan infrastruktur dan sahsiah rakyat. Pelaksanaan sepenuhnya terhadap projek ini memakan masa yang agak lama.

KESIMPULAN

Penggunaan ICT boleh menjadikan proses pendidikan suatu pengalama yang menyeronokkan dan menarik di samping membantu pelajarmemahami sesuatu konaep dengan cepay dan mudah. Penggunaan ICT mempunyai peranan penting dalam pendidikan fizik dan sejarah. Antaranya ialah ICT boleh;
1. memberi peluang kepada pelajar untuk belajar sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing.
2. memudah dan mempercepatkan kefahaman sesuatu konsep matematik
3. menjadikan aktiviti pembelajaran menarik dan menyeronokkan
4. membekalkan lebih banyak maklumat dan pengetahuan kepada pelajar.

Justeru dalam pengajaran kimia dan sejarah, penggunaan internet perlu diperhebatkan memandangkan kini ilmu boleh didapati melalui penerokaan bukan hanya diberi oleh guru semata-mata atau dengan erti kata lain ilmu kini tidak disuap semata-mata malah diteroka secara akses kendiri samada melalui kawalan guru, ibu bapa atau diri sendiri.

Saifullizan Yahaya

PENGENALAN

Saya telah menemu bual seorang sasterawan dari Perak iaitu Encik Saifullizan Yahaya. Beliau merupakan seorang penulis sajak dan cerpen. Beliau kini telah bekerja di Dewan Bahasa Dan Pustaka. Beliau merupakan penulis muda. Sepanjang sesi temu bual beliau sungguh baik sekali dan senang untuk dibawa berbual. Beliau tidak kedekut jawapan setiap kali saya mengajukan soalan. Saya begitu bangga kerana berjaya menemu bual seorang sasterawan yang mahir dalam bidang sastera dan berpontasi untuk maju dan terkenal dalam bidang sini. Sakali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau dan tidak dilupakan juga kepada Dr. Talib Samat.

LATAR BELAKANG

Nama sebenar beliau ialah Saifullizan Yahaya. Lahir pada 27 Oktober 1975 di Kampar Perak Darul Ridzuan. Hobi beliau ialah membaca dan sudah berkahwin. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Bidor, Perak. Kemudian melanjutkan pelajaran sebagai Bacelor Sastera ( Bahasa Dan Linguistik ) di Universiti Putra Malaysia. Waktu inilah beliau mula serius telibat dalam dunia penulisan. Namun, boleh dikatakan beliau mula penulis pada usia 15 tahun dan sebuah puisinya yang berjudul ‘ Dia Seorang Kawan’ telah disiarkan dalam majalah Siswa dan seterusnya dipilih untuk diantologi dalam buku “ Rahsia “ (1992) terbitan DBP. Namun, sejak itu beliau tidak menulis sehingga beliau menjejakkan kaki ke Akademi Seni Melaka. Pada awalnya beliau menulis berdasarkan pembaca kemudian mendapat didikan kursus daripada banyak guru antaranya Othman Puteh, Ramli Isin, Dharmawijaya, Mana Sikana, Sahlan Md, Saman, Shafei Abu Bakar dan sebagainya Beliau dikenali sebagai Saif dhi Yazan.

KEJAYA

Saifullizan Yahaya penah bekerja dibeberapa tempat kerja sabelum bekerja sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa Dan Pustaka. Beliau penah menjadi Pembantu Tadbir Di Kementerian Pertahanan Malaysia. Selain itu, dia juga penah bekerja sebagai Editor di Pearasan Malaysia Sdn. Bhd. Saifullizan Yahaya juga penah bekerja sebagai Penolong Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa Dan Pustaka dan kemudian dinaikkan menjadi Pegawai Perancang Bahasa.

SUMBANGAN

Saifullizan Yahaya begitu bergiat aktif dalam bidang penulisan walaupun dia masih muda. Beliau banyak menghasilkan sajak dan cerpen. Saifullizan telah berjaya menghasilkan 80 buah sajak iaitu Kebun, Belajar Menulis Puisi yang disiarkan dalam pelbagai akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia, Berita Harian/ Minggu, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa dan sebagainya.

Beliau juga telah menghasilkan 24 buah cerpen seperti ‘Tiga Cerita Dari Sejarah Melayu Yang Tertinggal’, ‘Eeh’, Topeng dsn Puisi, Kerusi dan sebagainya yang disiarkan dalam akhbar dan majalah seperti Tunas Cipta, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Sarina dan sebagainya.
PENGHARGAAN DAN ANUGERAH

Saifullizan Yahaya merupakan penulis muda di Negara kita. Walaupun dia masih baru dalam dunia penulisan tetapi beliau begitu menyelah kerana dia telah menerima pelbagai anugerah di atas hasil karya beliau sendiri.
Antara anugerah yang telah berjaya diperolehinya ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001 menerusi Cerpen Penghargaan iaitu ‘Topeng dan Puisi’: Sejarah. Saifullizan Yahaya juga telah mendapat Hadiah Karya Tunas Cipta 2002/2004 menurusi dua buah cerpen beliau iaitu Tiga Cerita Sejarah Melayu Yang Tertinggal dan cerpen Ehh! Dan Puisi yang bertajuk ‘Belajar Menulis Puisi’. Selain itu, beliau juga telah Berjaya mendapat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxo Mobil menerusi ( Cerpen Penghargaan : Kerusi )

IDEA PEMIKIRAN

Bagi Saifullzan Yahaya bidang penulisan sastera merupakan salah satu bidang untuk mengluahkan segala perasaannya dalam bentuk penulisan sama ada perasaan marah, sedih, rindu, gembira dan sebagainya. Melalui bidang penulisan juga beliau boleh mengmukakan pendapat beliau terhadap seseuatu perkara.
Selain itu, bidang penulisan juga boleh dijadikan sebagai bimbingan kepada masyarakat kearah yang lebih baik lagi dan sekali gus supaya masyarakat terutamanya remaja sedar bahawa bidang sastera merupakan salah satu cara atau tempat untuk mengatasi masalah. Bagi Saifullizan Yahaya bidang penulisan merupakan salah satu bidang untuk menambahkan pendapat keluarga dan tempat meliahkan perasaannya. Hal ini kerana, beliau menulis ketika beliau berasa marah sahaja. Saifullizan juga berpendapat melalui penulisan juga dapat meberi kesedaran kepada masyarakat tentang sejarah Negara kita contohnya dalam cerpen Tiga Cerita Dari Sejarah Melayu Yang Tertinggal. Dalam cerpen ini banyak mengajar masyarakat terutama tentang sejarah masyarakat Melayu melawan musuh Negara.
PANDANGAN PENULIS TERHADAP DUNIA SASTERA

Saifullizan Yahaya berpendapat bahawa dunia sastera sekarang akan membangun dengan majunya sering dengan perkembangan dunia sekarang. Hal ini kerana, banyak universiti-universiti yang menawar program sastera seperti USM, UPSI dan sebagainya. Malah penulisan sastera juga akan terus maju dengan adanya pembaca yang tidak jemu memiliki karya-karya sastera terutamanya novel-novel cinta. Beliau juga berharap penulis-penulis pada masa datang akan peka terhadap penulisannya terutama penggunaan bahasa kerana penulis sekarang banyak menggunakan bahasa yang kasar. Hal ini, dapatt telah memberi kesan negativ kepada masyarakat terutama remaja yang mudah terpengaruh.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, di sini kita dapat lihat bahawa Saifullizan Yahaya bakal menjadi penulis yang terkenal walaupun dia masih muda dalam dunia penulisan kerana brliau banyak menghasil karya yang begitu menarik sekali sehingga berjaya mendapat beberapa anugerah. Saya berpendapat beliau mampu pergi lebih jauh lagi setanding dengan Nordin Hassan, Ishak Haji Muhammad, A. Samad Said, Usman Awang, Dr. Talib Samat dan ramai lagi. Diharap Saifullizan berjaya menjadi penulis yang terkenal di mata dunia satu hari nanti.