Friday, January 25, 2008

PANTUN BUDI BAHASA

Dari Kuala singah ke Pekan
Hendak memberi buah nangka
Awal Bismillah saya mulakan
Salam sejahtera buat semua.

Ayam hutan terbang ke hutan
Tali tersangkut pagar duri
Adik bukan abang pun bukan
Hati tersangkut kerana budi.

Hari minggu pergi ke panggung
Melihat cerita Buli
Bukan ringgit dipandang orang
Budi bahasa rangkaian hati.

Jurumudi pegang kemudi
Nyiur bakul peninjau kerang
Sungguh tinggi harga budi
Budi dibalas kasih dan sayang.

Apa diharap pada paya
Tinggi rumput dari ruang
Apa diharap pada saya
Budi tiada bahasa pun kurang

Bauh petai dalam baldi
Enak di makan bersama ikan kering
Hidup kita biar berbudi
Hingga mati dikenang orang

Burung pipit burung kedidi
Hinggap di pokok tepi sawah
Jika hidup tidak berbudi
Ibarat pokok tidak berbuah

Pergi ke hulu menebang seraya
Hilir berakit waktu siang
Apa ada pada kaya
Banyak harta budi kurang

Sungguh enak air kelapa
Sambil duduk atas titi
Budi tuan tak kami lupa
Sudah terpaku hingga mati

Anak dara berkain cukin,
Dari Daik bulan puasa;
Tidak kira kaya miskin,
Asalkan baik budi bahasa.

Naik basikal terlanggar batu
Batu dibaling kena beruang
Adat dunia memang begitu
Sebabnya emas budi terbuang

Hari petang nampak teduh
Orang berjalan sebelah kiri
Jika hendak orang mengasih
Hendaklah baik bicara budi

Kalau ada menanam ubi
Boleh dijual pasar Isnin
Hidup hendaklah bersendikan budi
Sifat sombong jangan amalkan

Masam sungguh asam paya
Masam lagi buah mangga
Emas perak kebesaran dunia
Budi bahasa budaya kita

Ada kerusi ada meja
Itulah tempat membasuh kaki
Ada budi ada bahasa
Itulah tempat taruhan hati

Anak angsa mati lemas
Lemas mari di air masin
Hilang bangsa kerana emas
Hilang budi kerana miskin

Kalau udang dibuat gulai
Daging rusa dimasak kari
Kalau wang jadi pemakai
Budi bahasa pengiring diri

Pokok keladi tepi paya
Bunga teratai kembang berturut
Kalau berbudi pada yang kaya
Seperti mencurah garam ke laut

Orang asli menanam padi
Padi tumbuh nampak jarang
Antara kasih dengan budi
Budi juga dikenang orang

Naik kereta ke Pulau Mutiara
Singah sebentar membeli buah
Sudah berbudi lagi berbahasa
Itulah tanda bistari bertuah

Kalau tuan bawa perahu
Di isi dengan buah berangan
Hendak berbudi biar selalu
Supaya boleh buat kenangan

Kalaulah pergi ke pasar Khamis
Masuk sekejap membeli gelang
Kalau budi mintak dibalas
Itulah tanda budi tak dikenang

Anak ikan di makan ikan
Makan bersama ikan tenggiri
Mati ikan kerana umpan
Mati hamba kerana budi

Anak itik pandai menari
Anak angsa terlompat-lompat
Rupa cantik dapat dicari
Budi bahasa mana nak dapat

Sejak kentang nak jadi gulai
Ubi tidak bersama lagi
Sejak ringgit yang jadi nilai
Budi tidak dipandang lagi

Daun selasih daun keladi
Keladi ditanam di tepi tanjung
Hati kasih kerana budi
Budi baik rasa nak junjung

Banyak orang di Bukit Cina,
Sayang Cik Ali menebang kayu,
Zaman sekarang ringgit berguna,
Budi yang baik terbuang lalu.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa

Pantai Tanjung tempat berkelah
Seronok berkelah waktu cuti
Kalau ada silap dan salah
Mohon maaf sepenuh hati.

No comments: